Saturday, October 22, 2011

Tokoh akademik Universiti Malaya sokong Dr Aziz


KUALA LUMPUR: Tokoh-tokoh akademik daripada universiti tertua di Malaysia kelmarin memberi sokongan mereka kepada Profesor Dr Abdul Aziz Bari (gambar), sambil menggesa pihak-pihak berkenaan supaya menamatkan satu 'pencemaran melampau' terhadap kebebasan akademik.
Siasatan polis serta langkah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menggantung Dr Abdul Aziz harus digugurkan segera, kata Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) dalam kenyataannya. Ia juga mempertahan kenyataan Dr Abdul Aziz yang mengkritik tindakan Sultan Selangor sambil berkata 'satu kritikan terhadap Raja adalah sah jika ia bertujuan menunjukkan secara membina bahawa Raja berkenaan tersilap'. Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini berkata bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menemui bukti berlakunya usaha menarik penganut baru oleh sekumpulan bukan Islam dalam majlis makan malam yang diadakan di Gereja Methodhist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos lalu, tetapi menambah ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang lanjutan. Berikutan kenyataan Dr Abdul Aziz bahawa campur tangan diraja itu agak 'luar biasa dan tidak konsisten' serta seharusnya dilakukan sejajar dengan ajaran Islam, beberapa ahli parlimen (AP) Barisan Nasional (BN) menggesa agar tindakan diambil terhadap pensyarah undang-undang di UIAM itu.

Walaupun laporan polis dibuat terhadap Dr Abdul Aziz, ahli akademik yang lantang itu memutuskan beliau tidak akan meminta maaf atas kenyataannya sambil menegaskan beliau tidak bermaksud mencabar Sultan Selangor. 'Dalam kes Profesor Aziz, apa yang beliau lakukan hanya mengusulkan bahawa seorang Raja telah bertindak di luar batasan Perlembagaan. Ini satu komen sah tanpa sebarang kenyataan, secara langsung atau tersirat, dibuat untuk menghasut kebencian terhadap Raja itu,' kata Presiden PKAUM, Profesor Madya Dr Azmi Sharom, kelmarin. Ahli akademik undang-undang itu berkata tindakan yang diambil polis dan UIAM terhadap Dr Abdul Aziz itu hanya 'menanam rasa takut' dalam kalangan masyarakat akademik dan menghalang kemajuan keupayaan intelektual di Malaysia. Sementara itu, kira-kira 700 mahasiswa UIAM semalam mengadakan bantahan sebagai menunjukkan sokongan kepada Dr Abdul Aziz, sambil melaungkan slogan. Bantahan mereka diperhatikan oleh polis. Mereka juga meminta rektor universiti itu, Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin, agar UIAM segera menggugurkan penggantungan Dr Abdul Aziz. Mereka berkata bantahan itu perlu bagi 'membaiki' imej universiti berkenaan sebagai sebuah institusi akademik yang dihormati. -- Agensi. cyBerita Spore

Sementara itu, Lawyers for Liberty, pula berkata tindakan terhadap Abdul Aziz itu jelas merupakan satu penafian terhadap hak asasinya dalam kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 perlembagaan persekutuan.

NONEKumpulan peguam hak asasi manusia itu, yang juga terdiri daripada alumni UIA, melahirkan rasa kecewa atas sekatan kebebasan akademik, yang menurutnya, menjadi pra-syarat kepada transformasi Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, anggota Lawyers for Liberty, Afiq M Noor menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tidak "melangkaui sempadannya" dalam siasatan terhadap Abdul Aziz dan portal berita Malaysiakini, yang menyiarkan komennya. - Malaysiakini 22 Okt 2011

No comments:

Post a Comment