KUALA LUMPUR, 20 Okt:
PAS dan Pakatan Rakyat akan mengemukakan usul bagi menghadapkan Ahli
Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin kepada Jawatankuasa
Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataannya yang mengelirukan Dewan Rakyat.
Ianya berhubung kenyataan ahli parlimen bebas itu yang mengatakan
bahawa "hudud PAS menghalalkan suami meliwat isteri" dan "Mukallaf bagi
PAS berumur 18 tahun" ketika membahaskan Bajet 2012 di Dewan Rakyat,
hari ini.
Beliau mendakwa merujuk kepada 'draf' dan 'enakmen' Undang-Undang
Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 yang dibuat sewaktu
PAS memerintah negeri itu.
"Ini satu kenyataan yang cukup memalukan yang dikeluarkan oleh orang Islam untuk memalukan Islam itu sendiri.
"Kita anggap Kulim-Bandar Bharu sebagai pembohong," kata Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pada sidang media di parlimen.
Turut serta pada sidang media itu Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala
Selangor), Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang), Dr Hatta Ramli
(PAS-Kuala Krai), Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau), dan Azan Ismail
(PKR-Indra Mahkota).
Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata, mereka akan menunggu
hansard parlimen esok sebelum mengemukakan usul tersebut di bawah
perkara 26 (1b) peraturan mesyuarat.
No comments:
Post a Comment