Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin hari ini diheret daripada
menunaikan solat Jumaat di masjid Universiti Islam Antarabangsa, sebelum
perhimpunan membantah penggantungan tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari
sebagai pensyarah bermula.
Bercakap kepada Malaysiakini
selepas kejadian itu, Shamsul Iskandar berkata beliau diangkut dan
ditarik ke dalam sebuah Proton Satria hitam dan dibawa keluar dari
perkarangan universiti itu.
Beliau yang merupakan bekas pelajar
UIA itu berkata kira-kira 15 orang - ada yang berpakaian seragam
pengawal keselamatan dan ada juga yang tidak - menahannya sebaik sahaja
beliau mengambil wuduk.
“Saya
beritahu saya mahu solat dahulu kerana iqamat mula dibacakan, tetapi
mereka kata tidak boleh dan malah mereka juga tidak boleh menunaikan
solat,” katanya.
Shamsul Iskandar berkata mereka enggan bertolak-ansur dan kemudiannya bertindak mengheretnya ke kereta.
Beliau
berkata mereka yang tidak berpakaian seragam itu juga tidak menunjukkan
sebarang kad pengenalan diri dan bertindak dengan cara yang kasar.
“Apa
yang menyedihkan, di UIA yang sewajarnya menjadi tempat menyuburkan
ilmu Islami seperti slogan UIA 'Taman Ilmu dan Budi', saya ditahan di
dalam Masjid dan langsung tidak dibenarkan solat meskipun solat Jumaat
hampir dimulakan oleh Imam dan jemaah lainnya.
“Penahanan ini
jelas membuktikan bahawa pentadbiran UIA begitu terdesak untuk mengekang
keprihatinan massa di luar kelompok mahasiswa dan pensyarah lainnya,
khusus dalam isu penggantungan Dr Aziz ini,” katanya.
Menurut
Shamsul Iskandar beliau kemudiannya dibawa kira-kira enam kilometer
jauh di kawasan sekitar Taman Melewar dan meminta dirinya diturunkan di
sebuah masjid di sana agar beliau boleh menunaikan solat Jumaat.
Beliau
percaya tindakan menahannya bertujuan menghalangnya yang pernah menjadi
pemimpin pelajar di UIA daripada mengetuai bantahan di universiti
tersebut.
No comments:
Post a Comment