Saturday, October 22, 2011

Pemansuhan semakin dibidas

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS
 

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan Malaysia memansuhkan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) semakin dibidas hebat, dengan hanya lebih sebulan lagi tempoh persekolahan bakal ditutup tahun ini.
Selepas dilaksanakan selama sembilan tahun, PPSMI akan digantikan dengan dasar terbaru, Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi membolehkan para pelajar di negara itu memartabatkan bahasa Melayu selain turut mengukuhkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Minggu lalu, seorang pelajar tingkatan tiga menulis surat terbuka kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, meminta mereka menimbangkan semula pemansuhan PPSMI, menurut satu laporan laman berita Free Malaysia Today (FMT), semalam. Kali ini, seorang mahasiswa universiti pula mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia menimbangkan semula langkah itu, sambil berkata kegagalan rakyat Malaysia menguasai beberapa bidang penting dalam bahasa Inggeris akan menjunamkan negara tersebut ke alam pengasingan sama seperti Korea Utara. Dalam suratnya kepada Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page), pelajar berkenaan, yang menggunakan nama 'Nate Light', menegaskan bahawa kerjasama antarabangsa dilakukan dalam bahasa Inggeris bagi memudahkan jalinan hubungan berdaya maju di kalangan bangsa-bangsa yang berbeza. 'Seorang saintis dari Institut Teknologi Massachusetts (MIT) tidak akan memahami kertas kajian fizik dan istilah matematik yang ditulis dalam bahasa Melayu,' kata Light. 'Dalam dunia yang disejagatkan, tidak ada permintaan bagi para karyawan yang tidak fasih berbahasa Inggeris. Dunia luar akan berpaling ke negara-negara lain yang menawarkan karyawan fasih berbahasa Inggeris dan meninggalkan kita bersendirian,' tambahnya. Bagaimanapun, ia tidak membimbangkan Timbalan Menteri bagi Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah, ketika melancarkan simposium sulung, Silicon Valley Comes To Malaysia, pagi semalam. Sedang beliau akur bahawa kefasihan bahasa adalah sebahagian penetapan minda seorang usahawan, Datuk Saifuddin berkata pihak universiti mempunyai instrumen Skala Kemahiran Insaniah (3S) bagi mengukur kefasihan bahasa.

cyBerita Spore

No comments:

Post a Comment