KOTA BHARU, 20 Okt: Pelbagai pihak di negeri ini
meluahkan rasa terkilan dan menganggap sebagai tidak bertamadun di atas
tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas Prof Dr
Abdul Aziz Bari.
“Saya cukup terkilan, sepatutnya pakar undang-undang perlembagaan itu
sebagai aset negara kerana berani mengupas dalam konteks yang sedikit
berbeza.
“Tetapi UIA terpaksa akur kepada BN, menghalang percambahan pemikiran. Inilah malangnya apa yang berlaku sekarang.
”Kerana tindak tanduk seumpama itulah UIA sehingga kini gagal dan
terhalang daripada menjadi universiti yang berkualiti,” kata anggota
Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Fadzli Hassan.
Beliau yang juga bekas pensyarah kanan di UIA meluahkan terkejut di
atas tindakan tersebut, sepatutnya ia tidak berlaku dalam masa begitu
pantas.
Semalam Dr Abdul Aziz dilaporkan menerima surat tunjuk sebab daripada
UIA berkaitan pandangannya sebagai seorang ahli akademik terhadap titah
Sultan Selangor berhubung pemeriksaan JAIS di sebuah gereja di Petaling
Jaya baru-baru ini.
Ahli akademik yang agak lantang itu juga disiasat polis dan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ekoran laporan polis dibuat
pemimpin Umno termasuk Senator Ezam Mohd Noor.
Difahamkan juga Dr Abdul Aziz digantung sehingga notis selanjutnya
dikeluarkan. Selain itu menurut laporan Malaysiakini beliau juga tidak
dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus Gombak.
Prof Dr Abdul Aziz berkhidmat di UIA sejak 22 tahun lalu.
Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah
berkata, tindakan dilakukan UIA itu merupakan satu langkah yang tidak
bertamadun.
“Ini jauh sekali daripada merelaikan setiap masalah yang timbul.
Sepatutnya hujah akademik dibalas dengan pandangan yang sama bagi
menggambarkan kewibawaan ilmu seseorang,” ujarnya.
Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, apa yang
dilakukan UIA terhadap Dr Abdul Aziz sebagai strategi dan proses ke arah
'melenyapkan' golongan intelektual yang berani menyatakan kebenaran.
Menurutnya tindakan agresif tanpa siasatan rapi itu menjelaskan
kepada rakyat, Umno dan BN sekarang mahu kemandulan intelektual terus
berlaku di negara ini.
No comments:
Post a Comment