Monday, March 22, 2010

Jom Heboh ke Kelantan

AKHIRNYA stesen televisyen swasta, TV3 dapat juga mengadakan konsert di Kelantan. Acara popular Jom Heboh akan diadakan selama dua hari di Kota Bharu pada 26 dan 27 Mac ini sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan tahun ini.

Dengan konsert itu, maka tamatlah ‘pantang’ kerajaan Kelantan selama ini untuk membenarkan mana-mana pihak mengadakan program hiburan, terutama berkonsepkan kontemporari. Perlu disebut Konsert Jom Heboh berjaya menarik ribuan orang pada semua tempat yang ia adakan kerana tarikan program hiburan berbentuk pesta makanan, jualan, pameran dan persembahan nyanyian.


Ramai rakyat Kelantan mengharapkan persembahan kebudayaan secara ‘3 dalam 1’ ini diadakan, maklumlah mereka dapat meluangkan masa bersama keluarga berhibur sambil mendapatkan barang keperluan harian yang lebih mudah, murah dan segar. Pada masa sama, masyarakat juga akan dapat pelbagai maklumat terbaru mengenai kempen penyalahgunaan najis dadah, pertahanan awam, bomba dan lain-lain. Kelantan yang terkenal dengan seni budaya sejak turun temurun, mewarnai kebudayaan dan hiburan tradisi negara kita. Bahkan pada 1980-an, pertunjukan wayang kulit menjelajah di seluruh dunia. Namun, ia agak malap selepas Pas mengambil alih tampuk pemerintahan negeri daripada Barisan Nasional (BN). Dalam tempoh 20 tahun pemerintahan Pas, pelbagai peraturan dibuat dalam dunia hiburan, kebudayaan dan juga wanita.

Terbaru Pas membenarkan pihak TV3 mengadakan konsert Jom Heboh yang selama ini tidak dibenarkan Pas. Kerajaan Pas menganggap Konsert Jom Heboh anjuran TV3 pada 26 dan 27 Mac ini memenuhi kriteria diingini yang berkonsepkan kekeluargaan dan kerohanian. Konsert TV3 ini sudah lama diadakan di seluruh negara, kecuali Kelantan.

Sebenarnya, Pas melihat sesuatu melalui kaca mata politik bukan daripada kaca mata agama. Kita amat bersetuju konsert berkenaan dan sesuai dengan hasrat stesen TV swasta itu untuk memberi hiburan dengan mengambil kira batasan susila, adat istiadat dan ajaran agama Islam tidak dicemari.

Konsert Jom Heboh kali ini dilihat bukan lebih kepada ekspo, aktiviti kekeluargaan serta sukan, malah mengutamakan unsur kerohanian seperti menyediakan kemudahan tempat sembahyang selain mengadakan rakaman Al-Kuliyyah, yang akan dihadiri Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra.
Persoalannya, kenapa akhir-akhir ini banyak benar berlaku perubahan dasar kerajaan negeri pimpinan Pas? Pernah ketika memulakan tugas sebagai Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat membatalkan permit pertunjukan sarkas di Kota Bharu, kononnya pakaian ahli sarkas mencolok mata.

Namun, lima hari kemudian beliau membenarkan sarkas beraksi kononnya mereka sudah berpakaian sopan. Sopan apa, jika sarkas, sarkas jugalah. Nik Aziz banyak membuat garis panduan bukan saja kebudayaan, hiburan dan wanita antaranya wanita bekerja tidak boleh memakai gincu dan lebih-lebih lagi bila ke pejabat, takut digoda.

Selain itu, semua pasar raya diwajibkan membuka kaunter khas untuk wanita. Wanita juga tidak akan dipilih atau berpeluang menjadi wakil rakyat, walaupun mereka aktif; wanita tidak boleh menyertai musabaqah al-Quran kerana suara wanita aurat dan wanita juga tidak digalakkan bekerja atau keluar rumah. Kini peraturan itu tinggal peraturan kerana semuanya tidak diikuti Nik Aziz sendiri.

Semua tahu Pas sudah lama ‘gamkan’ persembahan kebudayaan tradisi rakyat Kelantan antaranya dikir barat, wayang kulit, permainan puteri, mak yong, menora, tarian inai dan selampit. Yang dibenarkan hanya rebana ubi, kertok, silat pulut, tomoi dan silat tongkat kononnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Senario itu menyebabkan ada yang terpaksa mencari pekerjaan lain untuk mengisi perut keluarga. Kerajaan Pusat sedar apa yang berlaku, menerusi pelbagai jabatan persekutuan, banyak tindakan dan inisiatif diambil untuk terus menghidupkan permainan tradisi itu. Namun akhir-akhir ini, Pas kecoh cuba membantu dan melonggarkan syarat dikenakan selama ini terhadap hiburan tradisi itu. Maka kedengaranlah rakyat berkata – dulu lain, sekarang lain, dulu tidak boleh, sekarang boleh pula.

Melihat kepada perubahan itu, tidak keterlaluan jika kita katakan yang Pas kini dalam keadaan terdesak, terpaksa dan tersepit antara perjuangan dan tuntutan semasa rakyat. Lebih-lebih lagi, Pas berusaha menarik pengundi untuk terus bersamanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Kita yakin Pas akan melakukan apa saja demi kelangsungan politik mereka. Mereka tahu bahawa lebih 60 peratus pengundi dalam PRU-13 nanti terdiri daripada belia. Kepemimpinan Pas berasakan bahawa masa untuk mereka ‘dikejutkan’ gendang paluan berundur akan tiba pada 2012. Kepiluan untuk melepaskan kerusi empuk di Bangunan Setiausaha Kerajaan semakin hampir. Maklumlah, banyak kepincangan Pas sudah terdedah dan didedahkan satu persatu oleh orang kanan Pas sendiri.

Sesungguhnya, rakyat Kelantan sudah lama mengidamkan Konsert Jom Heboh. Kita mengalu-alukan usaha TV3 memberikan hiburan kepada rakyat Kelantan. Hasrat murni ini sepatutnya sudah lama wajar diadakan di Kelantan.

[sumber berita]

No comments:

Post a Comment