Monday, March 22, 2010

halal haram bukan sekadar tampal lambang

ISU penggunaan label halal semakin meningkat berikutan kes penipuan dan kekeliruan orang ramai mengenai standard halal dilabelkan di mana-mana bungkusan makanan mahupun di hadapan premis perniagaan. Begitu juga trend masyarakat masa kini yang gemar mengunjungi restoran kopitiam yang kadangkala mengelirukan sama ada label itu benar-benar tulen atau palsu.

Ini bermakna meskipun ada label halal, ia masih diragui oleh masyarakat apatah lagi jika tiada langsung label halal dipamerkan. Selain itu kekeliruan ditambah dengan penggantungan ayat-ayat suci al-Quran di dinding atau dalam premis perniagaan restoran bagi membuktikan bahawa mereka sudah mematuhi standard halal yang tidak perlu diragukan lagi.


Keadaan itu juga berpunca daripada penguasaan produk halal tempatan yang dikeluarkan oleh syarikat bukan Islam dalam semua hal berkaitan pemakanan. Harapan orang ramai agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera supaya tidak terus menjadi mangsa pihak yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan sensitiviti halal dalam aspek penyediaan makanan mahupun barangan lain. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperakui sijil halal keluarannya mengikut konsep halalan toyyibah, iaitu mengambil kira aspek kebersihan secara menyeluruh, melebihi piawaian antarabangsa seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP) atau tidak bersih dan Bahaya Analisis Tahap Kawalan Kritikal (HACCP) yang menjamin daripada aspek keselamatan dan pembuatan makanan.

Ia sebagai pelengkap piawaian MS1500:2009 yang diperkenalkan oleh Jabatan Standard Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha, berkata meskipun pemantauan berkala dilaksanakan oleh pihaknya, ia turut berdepan masalah membabitkan tenaga penguatkuasaan yang terhad.

Ironinya 1.8 bilion umat Islam sebagai penganut agama kedua terbesar dunia dengan pasaran industri halal dunia berjumlah RM6.93 trilion, belum mempunyai satu sistem akreditasi yang lebih teliti, seragam dan menyeluruh.
Persoalan yang diutarakan oleh pengasas dan Pengerusi Islamic Manufacturing Practise (IMP), Ahmad Tajudin Arshad, sebenarnya memberi gambaran bahawa label halal sedia ada perlu dipertingkatkan dengan meluas kepada seluruh sumber bekalan dalam penyediaan makanan di negara ini. Sebagai contoh, sehingga artikel ini ditulis, ada 55 hotel dan resort yang mendapat sijil halal Jakim berbanding jumlah hotel 1,567 yang berdaftar dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH).

Sehingga kini peruntukan undang-undang berkaitan halal terdiri daripada Akta Perihal Dagangan 1972, Akta/Enakmen Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Akta Makanan 1983 (Akta 281) dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Ordinan Peraturan Binatang 1962, Akta Kastam 1962 dan Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, pula berpandangan bahawa penggunaan akta sedia ada serta penggubalan akta halal akan memperluaskan pelabelan halal bukan setakat produk makanan saja bahkan meliputi perbankan dan insurans seterusnya menjadi panduan kepada pengguna Islam.

Ada juga cadangan agar pelabelan tidak halal turut diperkenalkan terhadap barangan yang haram sebagai langkah awal pemilihan barangan halal dan tidak mengelirukan umat Islam.

Kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Shaani Abdullah, bahawa label tidak halal lebih memberi impak kesedaran masyarakat kerana ada logo halal yang dikeluarkan pihak swasta mengelirukan pengguna Islam.

Keadaan demikian juga kerana permohonan dan penggunaan sijil halal bukan satu kewajipan kepada semua pengeluar produk, tetapi lebih menjurus kepada aspek tanggungjawab sosial semata-mata.

Namun begitu, persoalan lain mengenai prosedur pensijilan di pasar raya seperti ditetapkan Jakim umpamanya produk halal dan tidak halal mesti diasingkan, label halal dan tidak halal mestilah dipamerkan dengan jelas, kaunter pembayaran dan penggunaan troli juga mesti diasingkan. Selain itu menjadi kewajipan pengusaha premis menyebarkan mengenai makluman berkaitan dengan apa cara sekalipun bagi memudahkan pengguna memahami erti pengasingan atau perbezaan troli halal dan tidak halal.

Tinjauan rambang penulis mendapati ia belum dijelaskan penggunaannya di mana-mana pasar raya. Langkah pemantauan yang jitu serta berkala dengan lebih kerap (lebih daripada sekali) terhadap semua produk pengeluaran oleh semua syarikat adalah antara kaedah yang perlu dilaksanakan.

Kesahihan label halal hanya boleh dipastikan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri yang diberi mandat untuk menyiasat sama ada ia tulen atau palsu. Selain itu, penyebaran maklumat berkaitan persijilan, pelabelan dan piawaian halal wajar diperluaskan melalui media massa secara besar-besaran kerana boleh menjadi panduan kepada semua pihak, terutama kepada pengguna Islam. Dengan demikian, hasrat Kerajaan Malaysia untuk menerajui hab halal utama dunia dan menjadi pelopor dalam industri berkenaan, mampu direalisasikan.

[sumber asal]

No comments:

Post a Comment